SELEPAS Maghrib pada pertengahan April 1991, sebuah tongkang berukuran 16 x 2 meter meninggalkan hutan bakau di Selat Panjang, Bengkalis, Riau dengan muatan lebih 100 penumpang, termasuk kira-kira 40 wanita. Tidak ada suara kedengaran kecuali bunyi unggas dan deru enjin mengiringi tongkang menyusur Selat Air Hitam menuju Selat Melaka.
Dalam tongkang, penumpang terpaksa berhimpit dan berdoa supaya selamat sampai di tanah harapan. Gaji permulaan di antara RM250 (Rp200,000) dan RM500 (Rp400,000) sebagai pembantu rumah, buruh ladang dan pembinaan, cukup menarik bagi mereka yang sebelum ini hanya memperolehi Rp25,000 (RM30) hingga Rp60,000 (RM72) sebulan hasil pendapatan bekerja ladang dan menangkap ikan.
Turut sama dalam tongkang itu ialah Saturi, 26, bersama 20 lagi rakannya dari Kampung Tamberu Barat, Mukim Sokobanah, Madura. Mereka tiba di Pekan Baru dua hari lalu dengan bas dari Surabaya. Semua urusan perjalanan ke Malaysia diuruskan oleh seorang tekong selepas membayar Rp300,000 (RM360)seorang.
Kira-kira jam 4 pagi, tongkang itu memasuki muara sungai dan merapat ke hutan bakau.
"Saya tidak tahu di mana saya berada ketika itu, tetapi seorang rakan memberitahu nama tempat itu Kukup. Dalam cuaca gelap, kami diarah berpecah dan saya bersama 12 rakan lain dibawa meredah hutan bakau menuju sebuah rumah.
"Kami tidak dibenarkan keluar dari rumah itu hingga malam. Kira-kira jam 8 malam, kami diarah menaiki sebuah lori bertutup dan dibawa ke Shah Alam," katanya.
Di Shah Alam, Saturi dan rakan-rakannya tinggal di sebuah rumah kongsi dan bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji permulaan RM25 sehari. Oleh kerana tidak mempunyai dokumen sah, dia dan kawan-kawannya sering ketakutan dan tidak berani keluar dari kawasan tempat kerja.
Selepas tiga bulan di Shah Alam, Saturi dipindahkan ke sebuah rumah kongsi di Jalan Pantai Baru dan gajinya dinaikkan kepada RM30 sehari.
Apa yang dibimbang kan akhirnya berlaku juga apabila rumah kongsinya diserbu polis kira-kira jam 2 pagi dan dia serta beberapa rakannya terpaksa merengkok di Balai Polis Petaling Jaya selama seminggu, sebelum dijamin oleh taukenya.
Selepas dibebaskan, Saturi kembali bekerja dan taukenya berjanji akan mendaftarkannya kerana ketika itu Kerajaan Malaysia sedang menjalankan proses pendaftaran pekerja asing yang masuk secara haram.
Bagaimanapun, sehingga tamat tempoh pendaftaran yang ditetapkan, nasib Saturi tidak berubah.
"Saya terpaksa masuk secara haram kerana tidak cukup wang untuk menguruskan dokumen perjalanan yang sah, termasuk pasport. Dengan pendapatan Rp3,000 (RM3.60) sehari sebagai kelindan lori, bagaimana saya boleh mengumpulkan wang Rp1juta (RM1,200) yang diperlukan ejen di Surabaya. Modal Rp300,000 (RM360) untuk masuk secara haram itu pun hasil jualan kerbau dan pinjaman daripada keluarga dekat," katanya.
Pada Mac lalu, Saturi mendapat surat dari kampung mengatakan ibunya sakit. Melalui rakannya, dia membayar RM300 kepada seorang tekong yang kemudian menyeludupkannya pulang ke Madura dengan membawa wang kira-kira Rp1 juta (RM1,200).
Layla Suher, 30, yang sudah dua kali masuk ke Malaysia secara haram kini sedang menyiapkan rumah yang jauh lebih besar di kampungnya di Tamberu Barat, Madura, membabitkan perbelanjaan hampir Rp10 juta (RM12,000), hasil wang yang dikumpulkan ketika bekerja di Malaysia. Sebelum ke Malaysia, Layla bekerja sebagai penjual ikan dengan pendapatan bersih hanya Rp1,000 (RM1.20) sehari.
Layla yang pertama kali masuk Malaysia secara haram melalui Selat Panjang, Bengkalis pada akhir 1989 ketika masih janda, bukan saja mampu membawa pulang wang untuk mengubah taraf hidupnya, malah bertemu jodoh di Malaysia. Kini dia sedang menunggu kelahiran anak pertama hasil perkongsian hidup dengan suami keduanya, Sanid Sarwan, 34, yang juga berasal dari Madura.
Saya membayar Rp125,000 (RM150), wang yang dipinjam daripada saudara, kepada tekong ketika kali pertama memasuki Malaysia. Tiba di Malaysia, saya bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji RM15 sehari di beberapa projek perumahan di Damansara dan Puchong.
Ketika itu, saya sudah mempunyai seorang anak berusia empat tahun yang ditinggalkan bersama neneknya di Madura," katanya.
Selepas lebih dua tahun bekerja di Malaysia, Layla membuat keputusan pulang ke kampung dan dia membayar RM700 kepada seorang tekong bagi mendapatkan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) atau dikenali sebagai `pasport tendang' dan tiket untuk membolehkannya pulang ke Madura menaiki feri dari Melaka ke Dumai dan dengan bas ke Surabaya. Dia bagaimanapun tidak lama di kampung dan kembali semula ke Malaysia melalui jalan gelap menaiki tongkang dari Dumai ke Port Dickson.
Nasib malang menimpanya dalam perjalanan kedua itu. Sebaik turun dari tongkang di pantai Port Dickson, dia ditangkap polis dan ditahan selama dua hari di Balai Polis Port Dickson.
Berita Harian, 20 September 1993
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment