KERETA api Mutiara menuju Surabaya yang sepatutnya bertolak jam 5 petang,akhirnya berangkat juga meninggalkan Jakarta selepas lewat dua jam.
Inilah kali pertama saya menaiki kereta api yang menjadi salah satu pengangkutan utama di negara itu. Perjalanan 12 jam memang meletihkan. Kira-kira jam 8 pagi, kereta api tiba di Stesen Pasar Turi, Surabaya.
Dari situ saya menaiki beca menuju hotel dan seperti yang dijanjikan, seorang kakitangan PT Kalia Lines, Wahyuddin, datang menjemput saya untuk diperkenalkan kepada Sutrisno atau panggilan akrabnya Pak Tris, ejen yang terbabit membawa masuk tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.
Pak Tris memang ramah orangnya dan mungkin kerana itulah dia mudah mempengaruhi penduduk kampung di Jawa Timur dan Nusa Tenggara Barat (NTB) menyabung nyawa memasuki Malaysia secara haram untuk mencari rezeki.
Nasib saya agak baik kerana Pak Tris sedang menguruskan lapan pekerja Indonesia berasal dari mukim Ketepang, Madura yang baru pulang dari Malaysia. Saya mengambil keputusan mengikuti Pak Tris ke Madura hari itu untuk melihat sendiri keadaan di sana.
Memang ramai penduduk Madura bekerja di Malaysia dan sebilangan besar masuk secara haram dengan menaiki tongkang dari Riau serta Sumatera Utara. Di Kampung Tamberu Barat, mukim Sokobanah, 70 peratus penduduk lelakinya pernah atau sedang bekerja di
Malaysia.
Kami berangkat dari Surabaya ke Madura kira-kira jam 11 pagi, menaiki feri di Pelabuhan Tanjung Perak menuju Kamal, yang mengambil masa 20 minit. Perjalanan ke mukim Ketapang pula mengambil masa tiga jam dan di tengah jalan, van yang membawa lapan pekerja Indonesia beberapa kali ditahan polis. Ketika inilah Pak Tris menjalankan `tugasnya'.
Selepas meninggalkan pekerja berkenaan di Ketapang, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Tamberu Barat, Sokobanah, kira-kira 30 kilometer dari Ketapang.
Menurut seorang penduduk, Yantono Sugianto, 36, sekurang-kurangnya seorang daripada anggota keluarga pemilik rumah di situ bekerja di Malaysia dan menghantar wang setiap bulan kepada keluarga mereka, untuk digunakan sama ada membina rumah, membeli ternakan atau tanah di samping perbelanjaan harian.
Kami meninggalkan Tamberu Barat kira-kira 9 malam dan sampai ke Surabaya jam 1 pagi. Pagi Ahad 22 Ogos, kami menuju Tulungagung, satu lagi daerah yang ramai penduduknya bekerja di Malaysia. Kami singgah di kampung Kendongwaru di daerah itu kira-kira jam 1 tengah hari.
Hari berikutnya, kami ke Lumajang yang jaraknya dari Surabaya kira-kira 150 kilometer. Di daerah itu, saya disangka tekong yang sedang mencari pekerja. Lumajang agak terpisah daripada pembangunan dan tidak hairanlah ramai penduduknya amat mudah terpengaruh dengan janji tekong mengenai peluang pekerjaan dan gaji besar di Malaysia.
Saya meninggalkan Surabaya menuju Johor dengan kapal penumpang Athirah dari Pelabuhan Tanjung Perak pada Rabu 25 Ogos. Turut sama ialah kira-kira 200 rakyat Indonesia, termasuk mereka yang baru pulang bercuti di kampung.
Perjalanan tiga hari tiga malam menuju Pelabuhan Pasir Gudang, memang membosankan. Saya menghabiskan waktu berbual dengan penumpang kelas ekonomi yang hampir semuanya pekerja Indonesia di Malaysia.
Daripada perbualan itu, saya mengesan adanya sindiket yang membawa masuk rakyat Indonesia ke Malaysia sebagai pelancong, tetapi apabila sudah berada di sana mereka akan bekerja secara haram sebelum mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) untuk mendapatkan Surat
Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) bagi membolehkan mereka memohon permit kerja. Kebanyakan mereka ini dibawa oleh tekong dan lengkap dengan pasport Indonesia, tiket pulang pergi, wang hemat diri RM500 serta teleks atau telegram daripada saudara mereka di Malaysia yang meminta mereka datang.
Bagaimanapun, hasrat mereka belum tentu tercapai kerana ada yang mungkin tidak dibenarkan masuk atau Not To Land (NTL) oleh Imigresen Malaysia. Demikian berlaku kepada 18 daripada 100 pelancong terbabit dan mereka terpaksa belayar balik dengan Athirah selama tiga hari tiga malam lagi untuk pulang ke Surabaya.
Namun kegagalan itu tidak mematahkan semangat mereka. Oleh kerana malu untuk pulang ke kampung, mereka sanggup menggadai nyawa memasuki Malaysia secara haram, sama ada melalui Riau atau Sumatera Barat.
"Jadi, kami terpaksa membantu mereka dengan bayaran di antara RM200 dan RM300, tetapi kami tidak jamin bila mereka boleh berangkat," kata tekong Zainal yang saya temui di Bengkalis.
Saya terpaksa menyamar sebagai ejen yang sedang mencari tenaga kerja Indonesia untuk bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Malaysia, semata-mata untuk mendapatkan maklumat daripada Zainal mengenai kegiatan membawa masuk pendatang haram tanpa izin ke Malaysia. Saya juga meninjau beberapa pusat keberangkatan pendatang tanpa izin di Bengkalis, Selat Panjang dan Tanjung Samak, dengan ditemani Bapak Efendi.
Menurut Zainal, sebahagian besar pendatang tanpa izin dipulangkan ke Indonesia melalui Dumai dan mereka datang ke Bengkalis kerana di Dumai sukar mencari tekong yang boleh menghantar mereka semula ke Malaysia.
Saya diberitahu beberapa calon tenaga kerja dari Jawa Timur yang sudah berada di Tanjung Samak sejak seminggu, akan dibawa ke Malaysia malam itu. Zainal turut menunjukkan tempat menginap beberapa pendatang tanpa izin yang baru dipulangkan, sementara menunggu tekong menguruskan perjalanan mereka memasuki semula Malaysia.
Seorang penduduk berkata, setiap malam hanya 10 hingga 20 orang berangkat ke Malaysia dan tempat mereka menaiki tongkang dirahsiakan.
Kami tiba di Tanjung Samak kira-kira jam 11 malam dan sempat menemui seorang tekong yang sedang menguruskan perjalanan beberapa pendatang tanpa izin ke Malaysia. Bagaimanapun, tekong yang dikenali sebagai Harahap itu enggan membawa saya bersama.
"Kegiatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke Malaysia kini semakin sukar. Kami terpaksa berhati-hati kerana ada anggota polis yang menyamar sebagai pendatang," katanya.
Kami menunggu kira-kira sejam di jeti tempat `Harahap' melabuhkan tongkangnya. Saya tidak melihat seorang pun di dalam tongkang itu, kecuali tiga pemuda yang sering keluar masuk dari rumah berhampiran tempat tongkang ditambat. Akhirnya, kami membatalkan hasrat untuk mengintip kegiatan Harahap apabila ketiga-tiga pemuda berkenaan datang menghampiri Bapak Efendi dan meminta kami meninggalkan tempat itu.
Di Tanjung Samak, memang banyak tempat yang dijadikan sebagai pusat penampungan tenaga kerja Indonesia, sama ada bagi mereka yang baru tiba dari Jawa Timur, NTB dan Lombok atau yang dipulangkan oleh Kerajaan Malaysia.
Kegiatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke Malaysia kini berkurangan kerana kebanyakan tekong takut disebabkan kawalan ketat pihak berkuasa selepas tragedi Bara Damai di Pantai Morib yang mengorbankan 47 pendatang tanpa izin, Julai lalu.
Bagaimanapun, beberapa tekong masih nekad meneruskan kegiatan dan dipercayai bergerak secara rahsia dari tempat tertentu pada awal pagi. Pihak berkuasa keselamatan mengawal 24 jam di sepanjang perairan Riau. Malah ada tekong berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan tidak kurang juga bersembunyi di daerah lain.
Di Dumai, tekong Osman dipercayai berada di Thailand manakala Darwis yang sebelum ini menguruskan perjalanan 200 hingga 300 pendatang tanpa izin setiap minggu dikatakan bersembunyi di Medan selepas polis menahan pemilik tongkang Bara Damai, Sabarudin, barubaru ini.
Pagi Jumaat 3 September, kami meninggalkan Tanjung Samak secepat mungkin untuk kembali ke Dumai kerana bot yang disewa perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Ketika melewati kawasan tongkang milik Harahap ditambat, kami dapati tongkangnya sudah tiada dan rumah tempat persembunyian pendatang juga sunyi sepi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment